Dulu ada seorang sahabat berpesan bahawa manusia ataupun an-naas berasal daripada perkataan ''nasiya'' yang bermaksud "lupa". Manusia selalu lupa tanggungjawabnya, lupa asal usulnya, lupa siapa dia sebenarnya. Jika tiada peringatan dan keinsafan, lalu hiduplah manusia di atas muka bumi sesuka hatinya. Semakin lama semakin keraslah hatinya. Bayangkan anda sedang duduk di tempat duduk penyokong, memerhatikan manusia sedang berlawan bola sepak. Di sudut itu, manusia nampak kecil. Seolah-olah semut-semut yang sedang "passing" sebiji gula bulat antara satu sama lain. Bayangkan pula anda naik kapal terbang melangit tinggi. Bila renung ke bawah, seakan-akan tak nampak di manakah manusia? Yang nampak hanyalah hijau pokok, coklat tanah dan biru laut. Bayangkan pula anda naik ke angkasa lepas, yang nampak hanyalah sebiji bumi yang seperti buah ceri biru, waktu itu manusia sudah luput dari pandangan. Begitulah seterusnya... Hakikatnya manusia itu kerdil. Namun Allah telah mengangkat darjat manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi. Manusia adalah sebaik-baik kejadian yang ditaklifkan untuk menjadi khalifah, menegakkan agama Islam dan mentadbir dunia dengannya. Beribadah dan mengabdikan diri kepada Tuhan Rabbul Alamin. Itulah kerja manusia. Tetapi berapa ramai yang sedar dan berapa ramai yang lupa? Sedangkan umur manusia tidak pernah berhenti mengira. Manusia akan mati, bumi akan hancur. Maka beruntunglah manusia yang beringat dan merugilah manusia yang lalai. Hanya mampu memanjatkan seungkai doa ya Allah, agar senantiasa diberi hidayah. Kami tidak mampu hidup di dunia dengan betul melainkan dengan hidayahMu. Amin.

0 comments:
Post a Comment