
Indahnya seorang Mu'min itu adalah kerana baginya ada Allah sebagai tempat kembali segala perkara.
Apabila dia tersilap membuat dosa, Allah menjadi tempatnya meminta ampun dan memohon hidayah. Perbuatan ini tidak sia-sia kerana Allah bersifat Maha Pengampun. Apabila dia diberi nikmat, Allah menjadi tempatnya untuk bersyukur dan meluahkan kegembiraan. Ini tidak merugikan kerana Allah bersifat Maha Pemurah dan Pemberi rezeki. Apabila diuji dalam kehidupan, Allah menjadi tempatnya mengadu sehinggalah tenang hatinya. Ini kerana Allah Maha Mendengar rintihan hamba2Nya. Apabila berasa berhajat kepada sesuatu, tidak lain tidak bukan Allah lah tempat dia berdoa dan memohon pertolongan, kerana semuanya datang dari Allah.
Oh...begitu indah tasawur kehidupan seorang Mu'min.
Rasulullah bersabda,
“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya baik baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki kecuali oleh seorang mukmin. Apa bila ia mendapat kesenangan ia BERSYUKUR dan itulah yang terbaik untuknya. Dan apabila mendapat musibah ia BERSABAR dan itulah yang terbaik untuknya.” HR Muslim
Inilah yang menjadi ubat pendorong bagi hamba Allah yang ditimpa ujian, agar dia sentiasa sedar bahawa di sana wujudnya hikmah agung. Ini juga menjadi pagar batasan bagi hamba Allah yang dikurniakan nikmat, agar dia sentiasa faham bahawa semua nikmat itu ada Pemberinya dan tidak patut untuk dia bermegah-megah.
Ada yang mengatakan bersyukur ketika mendapat nikmat lebih payah daripada bersabar ketika ditimpa musibah. Kerana orang yang bersyukur ketika mendapat nikmat menandakan dia tidak lupa kepada Allah, sekalipun di waktu kesenangan. Ada pula berpendapat disebabkan ujian yang mendatang itulah manusia bukan setakat belajar untuk bersabar, bahkan mula sedar dosa-dosa silam dan bertaubat.
Pokoknya, kedua-duanya membawa pulangan yang positif di akhirat kelak.
Dalam saya meneliti dua pendapat yang ajaib ini, datang pula seorang bergelar Hujjatul Islam yakni Imam Al Ghazali membawa berita gembira kepada mereka-mereka yang ditimpa ujian. Beliau membahaskan 5 perkara yang boleh difikirkan (boleh rujuk posting saya yang lepas2). 5 perkara ini membuatkan kita berasa lega bahkan bersyukur walaupun ditimpa ujian. Beginilah keajaiban seorang bergelar Mu'min apabila dia meletakkan Allah sebagai tempat kembali segala sesuatu.
Betapa seorang Mu'min itu sungguh istimewa. Kerana apa? Kerana dia bersama Allah dan Allah bersamanya. Subhanallah.

1 comments:
Post a Comment